mutakhir

Anak 'menyepi' bapa kahwin lagi

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

Kuala Lumpur: Pelawak Tauke Jambu, 41, terkilan kerana anak hasil perkahwinan terdahulu tidak dapat hadir ke majlis perkahwinannya yang berlangsung 9 Disember lalu.

Tauke atau Zamratul Amri Zakaria yang memiliki enam anak berusia antara lapan dan 16 tahun hasil perkahwinan sebelum ini akui ada menjemput mereka hadir di majlis perkahwinannya dengan model sambilan Nadia Mohd Affendi, 28.

Bagaimanapun, katanya, bekas isteri memberi alasan pergi bercuti bersama anak kerana musim cuti sekolah.

“Walaupun saya sering bertemu mereka setiap kali pulang ke kampung di Johor Bahru, tapi perasaan berkongsi hari bersejarah dengan anak sendiri adalah berbeza.

“Apatah lagi pada hari itu ibu bapa juga tiada kerana sudah meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro.

Pun begitu, Tauke yang ditemui di set penggambaran sitkom terbaru Mamu Mami Gosip berkata, disebalik kesedihan pada hari bahagia itu, dia bersyukur kerana segala urusan berjalan lancar.

Dia turut meminta maaf kepada tetamu yang hadir kerana difahamkan ada yang tidak mendapat tempat duduk kerana kehadiran tetamu melebihi 1,000 jemputan yang diperuntukkan.

Majlis bertemakan kisah dongeng berlangsung dengan meriah. Ini perkahwinan keempat Tauke selepas lima tahun menduda manakala kali pertama buat Nadia. Mereka bertunang 5 Disember 2015.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 11:44am
d