mutakhir

Reman Naib Presiden WARISAN disambung [METROTV]

Oleh Norasikin Daineh

REMAN Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Peter Anthony, disambung empat hari bermula esok bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siasatan itu berhubung kes urusan pembelian tanah ladang sawit di Tongod, Sabah, bernilai kira-kira RM155 juta.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret, Kota Kinabalu selepas SPRM menahan reman Peter selama tiga hari pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Peter diwakili peguam Martin Tommy manakala SPRM diwakili Pegawai Pendakwa Faliq Basirudin.

Peter yang ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah Jumaat lalu antara dua individu yang dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes urusan pembelian tanah berkenaan.

Sebelum ini, mereka diberi tempoh 48 jam untuk menyerah diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.

Peter juga antara 13 individu yang disiasat SPRM berhubung kes penyelewengan dana awam berjumlah kira-kira RM1.5 bilion yang disalurkan untuk pembangunan luar bandar di Sabah antara 2009 hingga 2015.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 12:10pm
d