mutakhir

'Balaci' tauke ketum dicekup

Oleh Attirmidzie Rahman

SEORANG remaja lelaki mendakwa diberi upah RM1 untuk setiap bungkusan air ketum yang dijual bagi pasaran Rantau Panjang dan Pasir Mas, sejak dua bulan lalu.

Malah, remaja berusia 17 tahun itu juga mengaku menjadi orang suruhan kepada pembekal dipercayai sepupunya untuk menyimpan dan menjual barang larangan itu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kegiatan suspek berakhir apabila ditahan sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang pada 3.30 petang Sabtu lalu.

Katanya, sebelum itu anggota yang melakukan risikan selepas memperoleh maklumat mendapati suspek berada di sebuah rumah di kampung itu.

“Namun, ketika serbuan suspek bertindak melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak sebelum berjaya dikesan.

“Pemeriksaan menemui 40 bungkus air ketum seberat 40 liter, 85 plastik mengandungi daun ketum seberat 10 kilogram dan 40 botol ubat batuk yang bernilai keseluruhan RM1,100.

“Soal siasat ke atas suspek mengaku menjadi orang suruhan untuk menyimpan dan mengedarkan bekalan itu dengan upah RM1 sebungkus,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, remaja itu yang tidak bersekolah sudah bergiat aktif dengan aktiviti berkenaan sejak dua bulan lalu dan ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah.

Katanya, suspek direman selama empat hari sejak semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sekysen 30 (3) Akta Racun 1952.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, pihaknya turut menahan lima individu berusia antara 22 hingga 56 tahun secara berasingan di Kampung Bukit Perah, To’ Uban dan Kampung Meranti, Pasir Mas, minggu lalu.

Menurutnya, mereka ditahan untuk siasatan berhubung tiga kes berkaitan dadah termasuk rampasan pil WY dan heroin bernilai RM5,210.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 12:40pm
d