mutakhir

'Dia ugut nak pancung kepala adik' [METROTV]

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

“DIA ugut nak pancung kepala adik saya sebelum melarikan kakak," kata Noriah Mahat, 16, menceritakan kejadian kakak angkatnya, Siti Khadijah Badar, 35, yang dilarikan seorang lelaki, kelmarin.

Dalam kejadian 4.30 petang di Kampung Alor Beruang Sungai Soi, Kuantan, lelaki berusia 30-an berkenaan pergi ke perkampungan Orang Asli itu dengan Toyota Vios sebelum melarikan Siti Khadijah yang dipercayai bekas teman wanitanya.

Noriah berkata, lelaki itu yang membawa parang panjang bertindak di luar dugaan apabila menetak pintu rumah mereka beberapa kali.

Katanya, ketika kejadian dia bersama dua lagi adik-beradiknya berehat manakala Siti Khadijah yang berasal dari Bera menyapu sampah dalam rumah.

"Secara tiba-tiba dia menetak pintu beberapa kali, kemudian masuk ke dalam rumah dan memukul kakak sambil menjerit mencari abang saya. Ketika itu, abang saya tidak berada di rumah," katanya ketika ditemui, di sini.

Gadis itu berkata, lelaki terbabit kemudian meletakkan senjata itu pada leher adik lelakinya sambil bertanya di mana abang mereka berada.

"Jika kami tidak beritahu di mana abang berada, dia ugut hendak pancung kepala adik saya.

"Selepas itu, dia terus menarik kakak masuk ke dalam Proton Wira milik kakak lalu melarikan diri bersama rakannya yang menunggu dalam Toyota Vios," katanya.

Katanya, berikutan itu satu laporan dibuat pada hari sama di Balai Polis Jaya, Gading, di sini.

Katanya, kakak angkatnya yang bekerja sebagai pembantu makmal di sekolah di bandar ini ada menghubunginya kira-kira 11 pagi, semalam.

"Saya tidak sempat menjawab panggilannya, selepas itu kakak hantar SMS dan memaklumkan dia selamat.

"Saya membalas SMS itu namun tidak berjawab sehingga kini, saya harap dia selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 3:07pm
d