mutakhir

Kegiatan 'bangsal cacing' dibongkar

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

TIGA puluh lima lelaki berusia antara 26 hingga 53 tahun, ditahan bersama dadah jenis heroin dan pil kuda bernilai RM8,750 dalam Op Sarang di Kampung Tujoh, Tumpat, semalam.

Operasi antara 6 pagi hingga 12 tengah hari itu berjaya membongkarkan kegiatan 'bangsal cacing' yang beroperasi sejak tiga bulan yang lalu.

Gelaran terhadap bangsal itu diberikan pihak berkuasa selepas ia dikesan aktif menjadi tempat berkumpul bagi aktiviti penagihan dadah dan jual beli barang larangan.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, operasi membabitkan sepasukan pegawai dan anggota diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

"Kita bermula 6 pagi dan serbuan ketika itu membolehkan empat lelaki usia 30 hingga 40-an ditahan bersama empat botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki heroin.

"Setengah jam kemudian, seorang lelaki 30-an pula ditahan ketika menghampiri bangsal cacing ini, dipercayai untuk aktiviti sama.

"Seorang pegawai dan lapan anggota bersembunyi di dalam bangsal dan menunggu 30 lagi lelaki lain masuk secara berperingkat antara 7 pagi hingga 12 tengah hari sebelum mereka ditahan," katanya di sidang media di dewan Temenggong, IPD Tumpat, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 56 pil kemerahan bertanda 'WY' disyaki dadah jenis pil kuda.

Katanya, semua lelaki terbabit masuk ke sarang penagihan untuk mendapatkan bekalan daripada lima pembekal dadah yang turut ditahan.

Ab Rashid berkata, empat lelaki yang dipercayai mengedar dadah jenis heroin disiasat mengikut seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan reman selama tujuh hari

"Manakala lelaki yang memiliki pil kuda disiasat mengikut seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta direman empat hari serta 30 yang lain disiasat mengikut seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan reman selama tiga hari.

"Hasil siasatan mendapati 31 daripada mereka pernah ditahan sebelum ini kerana kes dadah dan empat daripadanya pertama kali ditangkap," katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 4:54pm
d