mutakhir

'Kami bimbang dipersalahkan jemaah umrah'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEPULUH ejen pakej umrah membuat laporan polis terhadap syarikat mereka kerana tidak menyediakan kemudahan seperti dijanjikan dan setimpal dengan wang dibayar jemaah.

Mereka mendakwa sepanjang bekerja di syarikat beroperasi di Sungai Petani itu, mereka dipertanggungjawabkan menguruskan semua pakej bayaran jemaah yang mendaftar.

Ejen yang mahu dikenali sebagai Siti, 28, berkata, dia dan rakannya termasuk seorang pelajar yang menjalani latihan praktikal berkerja di situ sejak tiga bulan lalu dan hanya dibayar gaji pada bulan pertama.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga, pengurus syarikat dikenali sebagai 'Ustaz Faiz' jarang muncul dan menyerahkan sepenuhnya tugas kepada semua pekerja yang turut menggunakan kemudahan sendiri seperti komputer riba dan telefon bimbit untuk menguruskan pakej umrah.

“Perkara ini berlaku pada November dan Disember lalu apabila saya dilantik sebagai ejen untuk mengutip wang daripada lebih 100 jemaah dan menyerahkan resit bayaran kepada mereka dengan harga RM7,000 setiap seorang.

"Bagaimanapun, apabila mereka pulang, saya menerima rungutan yang kemudahan disediakan pakej syarikat ini tidak menepati syarat ditetapkan, malah ada yang mendakwa jarak hotel terlalu jauh, makanan tidak disediakan dan banyak lagi kemudahan lain tidak disediakan," katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) di Simpang Kuala, hari ini.

Siti mendakwa, dia bimbang dipersalahkan sedangkan peranannya hanya menguruskan segala dokumen jemaah dan tidak tahu menahu apa yang berlaku ketika di Makkah.

Katanya, setakat ini, ada jemaah membuat laporan polis kerana mengesyaki berlaku penipuan dan ada yang menghubunginya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu.

"Saya sudah menghubungi Ustaz Faiz, namun gagal malah apa yang saya serta rakan luahkan melalui kumpulan WhatsApp tidak mendapat jawapan walaupun dia sudah membaca.

"Apa yang membimbangkan saya, ada 50 jemaah lagi akan berlepas untuk menunaikan umrah pada 24 Januari ini dan bimbang perkara sama akan berlaku sehingga kami dipersalahkan," katanya.

Berikutan itu katanya, mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada 10 Disember lalu berhubung hal itu untuk mempertahankan diri bahawa mereka tidak bersalah.

Katanya, mereka tidak mengharapkan gaji dua bulan yang tertangguh itu dibayar segera tetapi mahu pengurusan syarikat tampil memberi penjelasan segera supaya mereka tidak dipersalahkan.

Rakannya, Mohd Amzar, 22, berkata, kali terakhir mereka berbincang dengan pengurus syarikat pada 18 Disember dan selepas itu lelaki berusia 32 tahun itu sering mengelak untuk berjumpa.

Katanya, disebabkan itu mereka mengambil keputusan berhenti kerja kerana bimbang menanggung masalah yang bukannya berpunca daripada mereka.

"Ada antara kami yang sanggup menyewa rumah dan berulang alik jauh semata-mata untuk bekerja tetapi apabila tidak dibayar gaji, kami bersepakat untuk berhenti kerja," katanya.

Sementara itu, Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, ini adalah aduan pertama tahun ini membabitkan penipuan pakej umrah.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan semua mangsa membuat laporan polis sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 7:06pm
d