mutakhir

Insaflah, ibu...[METROTV]

Oleh Nur Syazwana Mansor

IBU kepada lapan anak dan tiga cucu antara 32 penagih ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Bersepadu di port dadah dikenali 'sarang burung' di Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala, Yan hari ini.

Difahamkan wanita berusia 37 tahun itu sudah beberapa kali ditahan pihak berkuasa sebelum ini, namun tidak serik dan terus terbabit penyalahgunaan dadah.

Perkara itu diakui sendiri oleh anak perempuan sulungnya berusia 21 tahun ketika ditemui di lokasi serbuan pagi tadi.

Katanya, mereka sekeluarga kecewa dengan sikap ibunya yang semakin menjadi-jadi dan tidak insaf dengan perbuatannya.

"Mak turut mengamuk dengan parang dipercayai akibat pengaruh dadah yang diambilnya dan kami takut dia akan mencederakan sesiapa.

"Saya tahu setiap hari mak akan datang ke sini dengan menaiki motosikal saya yang digunanya tanpa kebenaran dan saya akan ke sini untuk mengambil semula motosikal saya," katanya yang mempunyai tiga anak berusia setahun hingga lima tahun.

Katanya, adik-beradiknya yang masih bersekolah dan yang bongsu berusia empat bulan kini dijaga oleh neneknya dan mereka sekeluarga.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri, Nasru'd-din Abdul Rahman berkata, operasi itu membabitkan anggota AADK negeri, AADK daerah Yan dan anggota Jabatan Sukarewalan Malaysia (RELA) Daerah Yan.

Beliau berkata, operasi bermula sekitar 10 pagi dan diketuai oleh Ketua Penguat kuasa dan Keselamatan AADK Daerah, Wan Noor Shah bersama 32 anggota.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati port itu beroperasi 24 jam dan menjadi tumpuan bukan saja penagih tempatan malah dari luar termasuk Langkawi, Alor Setar dan Sungai Petani.

"Mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 65 tahun. Ada yang menjadi nelayan dan bekerja sendiri serta penganggur.

"Kita menjalankan ujian saringan air kencing dan mendapati semua mereka positif dadah opiat dan methamphetamine termasuk wanita berusia 37 tahun itu," katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, katanya, port dadah itu sangat aktif dan terkenal di daerah Yan serta dipercayai mempunyai pengedar dadah yang menjual bahan haram itu.

Nasru'd-din berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

"Ketika operasi kita berdepan kesukaran apabila ada penagih terjun ke laut dan memecut motosikal dengan laju untuk melepaskan diri," katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 7:59pm
d