mutakhir

Cabul: Pegawai SPRM dicekup

Oleh Ibrahim Isa dan Izlaily Nurul Ain Hussein

SEORANG pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan polis, di Johor Bahru, malam semalam kerana disyaki mencabul kehormatan seorang kerani wanita sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor.

Suspek lelaki berusia 41 tahun dan bertugas di Putrajaya itu ditahan kira-kira 9 malam semalam di Majidee, Johor Bahru selepas polis menerima laporan dibuat mangsa.

Mangsa mendakwa dicabul suspek dalam beberapa kejadian di sekitar kawasan Senai, Johor, antara 20 September 2017 hingga 27 Disember tahun lalu.

Kejadian yang menimpa wanita berusia 43 tahun itu bermula apabila lelaki yang dikenalinya itu menghantar mesej menerusi aplikasi sembang WhatsApp dengan bertanya mengenai cara mendaftar subjek pengajian pada 20 September 2017.

Menurut sumber, dua bulan kemudian, suspek mengajak mangsa keluar makan, namun ketika dalam perjalanan pulang, suspek bertindak memegang tangan mangsa dan sejak itu, suspek kerap menghantar mesej berbaur lucah selain pernah menghantar gambar separuh bogel kepadanya.

Suspek yang dipercayai penuntut doktor falsafah (PhD) di IPT itu juga didakwa pernah mencabul mangsa dengan cara memegang tangan, mencium pipi dan mulut selain memegang payudara dan kejadian itu berlaku beberapa kali ketika mereka keluar bersama.

Sumber berkata, kejadian itu berlarutan sehingga bulan lalu sebelum mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan suspek membuat laporan polis.

Katanya, suspek sentiasa berurusan dengan mangsa tentang cara mendaftar kursus dan lelaki itu mengajak mangsa keluar makan sebagai tanda terima kasih.

Mangsa yang sudah berkahwin itu mendakwa dia dan suspek tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis dibuat mangsa.

Beliau turut mengesahkan tangkapan yang dibuat ke atas suspek dan merampas sebuah telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

"Kita masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan Seksyen 509 kanun sama kerana kelakuan yang mengaibkan kehormatan seseorang," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 11:10pm
d