mutakhir

Tular tipu

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS Johor menafikan tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp kejadian penculikan dan pembunuhan kejam seorang kanak-kanak yang didakwa berlaku di negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata tular berkenaan menunjukkan seorang kanak-kanak dalam keadaan terbaring dengan kesan kelar di bahagian leher.

"Terdapat jahitan di sepanjang atas badan dipercayai meninggal dunia serta semua organ dalaman juga didapati tiada.

"Turut ditularkan ialah gambar dua individu yang masih dikehendaki Polis Johor yang pernah disiarkan kepada media," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Polis Johor menafikan insiden penculikan dan pembunuhan ini ada dilaporkan serta berlaku di negeri ini.

"Ia (penyebaran) dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

"Perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang," katanya.

Katanya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai tidak mudah mempercayai dakwaan yang diperoleh dari sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 11:18pm
d