mutakhir

41 tahun buru barangan antik

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: “Walaupun sejak kebelakangan ini sukar untuk menjual barangan antik, saya puas kerana dapat memiliki barangan antik yang berusia ratusan tahun berharga antara RM5 hingga RM300,000,” kata pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM), Wan Ahmad Arshad.

Katanya, selama 41 tahun dia menjadi pemburu barangan antik berupa manuskrip dan artifak kerana minatnya yang mendalam, selain mahu memastikan barangan berharga terbabit tidak jatuh ke tangan orang asing.

Menurutnya, memburu dan memiliki koleksi berkenaan menjadi lebih istimewa apabila setiap pencarian serta penemuan itu dikongsikan dengan penggemar lain.

“Saya memiliki ratusan barang purba termasuk koleksi manuskrip dan artifak tamadun Melayu Islam yang diperoleh dari dalam dan luar negara. Antara manuskrip itu ialah Syair Siti Zubaidah bertulisan tangan berusia 171 tahun.

“Artifak lain termasuk kendi tinggalan tamadun dunia Melayu prasejarah di pantai timur Malaysia dan selatan Thailand,” katanya ditemui pada Pameran GPM 2018 di ruang legar Pasaraya Mydin Senawang, di sini, kelmarin.

Katanya, koleksi lain yang masih dalam simpanan ialah foto klasik bangunan dan landskap bandar raya utama dunia seperti London, Paris, Berlin, Brussels, New York, California, Melbourne, Beijing, Tokyo dan New Delhi, selain bangunan di negara ini serta mata wang dunia.

Wan Ahmad berpendapat manuskrip Melayu perlu dipertahan dan dikumpulkan bagi tujuan penyelidikan intelektual, kajian perbandingan dan memberi inspirasi kepada masyarakat terutama generasi muda melalui konsep nilai serta iktibar.

Beliau yang juga penyelidik berkata, melalui bahan antik berkenaan, generasi muda dapat mengenali susur galur generasi terdahulu selain mempelajari pelbagai aspek berkaitan ketamadunan nenek moyang mereka.

“Saya akan terus menyimpan koleksi ini kerana ia begitu berharga bagi generasi masa kini dan akan datang.

“GPM merancang untuk bekerjasama dengan karyawan dan pertubuhan seni tempatan bagi mengadakan lebih banyak aktiviti dalam mendekati masyarakat terhadap hasil seni serta karya yang dihasilkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 4:53am
d