mutakhir

Ibu rayu bantuan bedah anak

Oleh HM Digital

Jempol: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitulah ketabahan seorang ibu tunggal membesarkan empat anak termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Padang Lalang, di sini.

Kolijah Ibrahim, 53, yang juga suri rumah berkata, Muhammad Fawwaz Subhi Abdullah, 15, dilahirkan tidak cukup bulan dan tidak mampu menguruskan diri, selain terlantar serta tidak mampu bercakap.

“Dia dimasukkan dalam wad beberapa bulan selepas dilahirkan sehingga keadaannya stabil.

“Doktor memberitahu Muhammad Fawwaz turut mempunyai masalah usus dan jantung berlubang. Anak bongsu saya pernah menjalani pembedahan pada 2005 bagi membetulkan semula ususnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Kolijah berkata, bagaimanapun, pembedahan jantung berlubang tidak dapat dibuat kerana mempunyai risiko yang tinggi.

“Setiap bulan saya perlu membelanjakan RM150 bagi membeli lampin pakai buang, selain menjalani pemeriksaan pakar setiap enam bulan sekali di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan bulanan RM350 selain Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), badan pertubuhan kerajaan dan parti politik turut memberi perhatian kepada kami,” katanya.

Orang ramai ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun bersama Bank Simpanan Nasional 05104-29-00026200-7 atas nama Kolijah Ibrahim dan Muhammad Fawwaz Subhi Abdullah.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 4:55am
d