mutakhir

Kantoi tak hafal Negaraku

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: “Saya memang berasal dari Malaysia dan tidak membawa kad pengenalan kerana hanya mahu keluar makan.”

Demikian alasan seorang lelaki disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 20-an ketika ditahan Jabatan Imigresen Selangor dalam serbuan di sekitar Seksyen 25 di sini, semalam.

Helah lelaki yang tidak dikenal pasti warga negara itu berjaya dihidu pegawai penguat kuasa berikutan dia tidak mengingati nombor kad pengenalan dan gagal menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

Selain itu, dia gagal memberitahu asal usul keluarganya dan menyebabkan Jabatan Imigresen terpaksa menahannya bagi tindakan lanjut.

Dalam operasi bermula jam 2 petang itu, seramai 69 warga asing termasuk 16 wanita ditahan atas beberapa kesalahan imigresen.

Pengarah Imigresen negeri Omran Omar berkata, operasi rutin itu dilakukan pihaknya hasil maklumat mengenai kewujudan PATI di premis terutama kedai di sekitar kawasan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat itu, kita menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas seramai 123 warga asing.

“Ia membawa kepada penahanan 53 lelaki dan 16 wanita berusia 20 hingga 55 tahun yang terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar,” katanya memaklumkan operasi berakhir jam 4 petang.

Menurut beliau, mereka dibawa ke Pejabat Penguat Kuasa Imigresen negeri di Shah Alam untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal lebih masa,” katanya.

Kata Omran, pihaknya turut menahan seorang wanita tempatan berusia 50-an kerana cubaan mengganggu tugas penjawat awam.

“Wanita itu didapati cuba menimbulkan situasi tegang sekali gus mengancam keharmonian ketika penjawat awam cuba melakukan tugas.

“Ketika cuba meminta mengemukakan pasport pekerjanya, dia bagaimanapun enggan bekerjasama dan sebaliknya mengarahkan kami merujuk kepada Jabatan Imigresen Putrajaya,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 6:15am
d