mutakhir

Bibik nak datang dah...

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SERAMAI 36 majikan akan mula menerima pembantu rumah asing (PRA) mulai minggu ini selepas mereka berjaya menyelesaikan urusan pendaftaran dan dokumen menerusi Sistem Maid Online (SMO).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, buat masa ini, kesemua majikan berkenaan sedang menunggu keputusan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) yang dijangka selesai dalam tempoh tiga hari.

Beliau berkata, secara dasarnya, pihaknya hanya mengambil masa enam hari bagi urusan memproses permohonan majikan dan PRA sejak SMO mula dibuka untuk permohonan pada 1 Januari lalu.

"Bagaimanapun, proses saringan kesihatan dan keputusan di FOMEMA pula kebiasaannya akan mengambil masa antara tiga hingga lima hari," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Setia Berjasa di Putrajaya, hari ini.

Katanya, kesemua 36 majikan itu akan menjadi kumpulan pertama yang berjaya mendapatkan PRA menerusi SMO.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 12:27pm
d