mutakhir

Didakwa menipu RM62,034 [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DUA warga Nigeria dan seorang wanita tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini kerana memperdaya lelaki supaya menyerahkan wang RM62,034 untuk bungkusan yang tidak wujud, Disember lalu.

Anayo Apakabi, 28; Eze Chimezie Kingsley, 30; dan Mazni Marzuki, 46, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 12.16 tengah hari 11 Disember 2017 dan 11.41 pagi 13 Disember 2017 di 13, Jalan 4, Hiusing Trust, Ipoh.

Mereka didakwa memperdaya Law Ah Fook yang menetap di Taman Perpaduan Ria Bercham, Ipoh dengan bungkusan yang tidak wujud bagi mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM62,034 di mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdaya.

Anayo dan Eze Chimezie yang diwakili Peguam Miza Hiryani Zakaria, manakala Mazni yang diwakili Matthews Jude bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Dua warga Nigeria itu turut didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) kerana tamat tempoh pas pelajar dimana Anayo tamat pada 3 Jun 2017 dan Eze Chimezie pada 20 Mei 2016.

Majistret Nurul Hafizah tidak membenarkan kedua-dua warga asing terbabit dijamin manakala mengenakan jaminan sebanyak RM4,000 terhadap Mazni dengan seorang penjamin selepas mendengar rayuan memaklumkan tertuduh adalah seorang janda mempunyai dua anak dan hanya bekerja sebagai tukang cuci.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Februari 2018 bagi penyerahan dokumen.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 2:03pm
d