mutakhir

Akhirnya tumpas jua...

Oleh Hadzlihady Hassan

LELAKI yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah ditahan selepas kereta dipandunya terbabas ketika dikejar polis di Taman Pelangi, Juru, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian pada 1 pagi itu, suspek berusia 35 tahun yang menaiki Perodua Kelisa dilihat memandu dalam keadaan mencurigakan di Permatang Tinggi oleh sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, anggota polis cuba menahan kereta dipandu lelaki itu, namun suspek terus memecut menuju ke kawasan Bukit Tengah.

Menurutnya, anggota polis mengejar suspek, tetapi kenderaan dipandu lelaki itu terbabas lalu melanggar tembok hingga menyebabkan tayar kanan hadapan pecah di kawasan Taman Pelangi, Juru.

“Anggota polis kemudian menarik suspek keluar dan berlaku pergelutan, namun dia berjaya ditahan tidak lama kemudian.

“Hasil pemeriksaan polis menemui pelbagai peralatan pecah rumah dan semakan juga mendapati kereta dipandu suspek pernah dilaporkan hilang di Bayan Baru,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 2:10pm
d