mutakhir

Lama lagi 'Sarjan Faiz' kena siasat

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

TEMPOH reman ke atas 'Sarjan Faiz' yang melarikan gadis berusia 17 tahun dari rumahnya di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, 27 Disember tahun lalu dilanjutkan sehingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, reman itu dilanjutkan empat hari lagi bagi membolehkan siasatan dilakukan pihaknya mengikut Seksyen 363 dan 170 Kanun Keseksaan kerana menculik serta menyamar sebagai penjawat awam.

Katanya, selain itu suspek berusia 32 tahun dari Taman Bukit Indah, Bentong, turut disiasat dalam satu kes penipuan di daerah ini tahun lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Dalam kes ini, dia turut menyamar anggota polis dengan menipu RM500 konon untuk membebaskan anak mangsa yang ditahan atas kesalahan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata pemeriksaan ke atas mangsa yang dilarikan suspek dalam kejadian berkenaan mendapati gadis terbabit tidak dirogol.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kehilangan Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi selepas dibawa suspek konon untuk membantu mengambil motosikal yang dibeli di pekan Sungai Ruan dengan meminta izin kepada ibu mangsa di rumahnya kira-kira 11 pagi pada 27 Disember lalu.

Pada 3 petang hari sama, Nur Syaminn menghubungi Wan Maziah memaklumkan dia berada di Gua Musang, Kelantan, bersama suspek yang mengaku anggota Balai Polis Sungai Ruan itu sebelum talian dimatikan.

Gadis berkenaan ditemui selamat di sebuah stesen bas di bandar ini pada 11.05 pagi pada 29 Disember selepas menaiki bas dari Kuala Lumpur dan dibawa polis untuk siasatan lanjut.

Selepas 10 hari menjadi buruan, suspek terbabit akhirnya diberkas Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dalam Proton Satria di depan sebuah hotel di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh, Perak, 2.05 pagi pada 6 Januari lalu.

Dia kemudian dibawa ke IPD Raub dan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan.

Berita berkaitan

'Sarjan Faiz' ajak kawin, kebas barang kemas

'Sarjan Faiz' kena cekup depan hotel

Bala dah dekat dah 'Sarjan Faiz'!

Naik bas pulang ke Raub

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 4:40pm
d