mutakhir

Tiga nyawa 'melayang'

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

TIGA terbunuh selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung sesama sendiri di Kilometer 18, Jalan Lipis-Benta, berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta, Lipis, 1 tengah hari tadi.

Mangsa yang juga pemandu lori, Kamaruddin Mohamed, 37, berasal dari FELDA Lakum, Lanchang, Temerloh, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di dada

Turut terbunuh di tempat kejadian, pemandu pacuan empat roda Nissan Navara, Tan Kok Ton, 44, dari Klang, Selangor dan penumpang depannya, Ngoh Kam Wah, 51, dari Ampang, Selangor, masing-masing bekerja sebagai jurumesin.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati, Kok Ton bersama rakan sekerjanya itu dalam perjalanan ke Kuala Lipis dari Bentong dipercayai mengantuk dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori dipandu Kamaruddin.

"Semua mangsa yang maut di tempat kejadian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat selain polis akan mengambil sampel darah kedua-dua pemandu untuk ujian toksikologi.

"Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 6:01pm
d