mutakhir

Patcharamai boleh sekolah

Oleh Zuhainy Zulkiffli

ADA keceriaan di wajah Patcharamai Chailungka,7, selepas diberitahu ayahnya bahawa dia boleh bersekolah seperti rakan seusianya walaupun tidak mempunyai MyKid.

Gembira dengan perkhabaran itu, Patcharamai sudah tidak sabar mahu mengajak ayahnya, Hng Wei Liang, 42, membeli pakaian dan kelengkapan persekolahan tidak lama lagi.

Hng berkata, anak tunggalnya itu adalah hasil perkongsian hidup bersama wanita warga Thailand, Supaporn Chailungka, 30, selepas berkahwin di negara jiran pada 2011.

Tujuh bulan selepas melahirkan Patcharamai di Chiang Mai, wanita terbabit menghilangkan diri dan kanak-kanak itu dibesarkan Hng seorang diri dan dia bekerja sebagai pengurus restoran di Jalan Burmah, Georgetown.

"Mujurlah bekas isteri tidak membawa bersama sijil kelahiran dan pasport Patcharamai yang membolehkan saya mendaftar persekolahannya di sini.

"Kesilapan saya adalah tidak berhubung terus dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan hanya mendengar pandangan orang lain sahaja, namun saya gembira segalanya hampir selesai," katanya.

Hng ditemui di JPN Pulau Pinang di Bukit Jambul di Georgetown, hari ini selepas berjumpa dengan pihak terbabit bagi mendapatkan pandangan mengenai persekolahan anaknya.

Hadir sama, Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) A Kumaresan yang membawa Hng dan Patcharamai ke jabatan berkenaan.

Mengikut pekeliling Ikhtisas yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2009, kanak-kanak warganegara yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri boleh bersekolah di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan sekiranya ibu atau bapa kanak-kanak itu adalah warganegara Malaysia selain perlu mengemukakan surat pengesahan atau perakuan Ketua Kampung bahawa anak mereka adalah anak kepada warganegara Malaysia.

Hng berkata, , urusan pendaftaran persekolahan Patcharamai dijangka mengambil masa selama 14 hari dan hanya memerlukan salinan sijil lahir, pasport serta lain-lain dokumen berkaitan.

"Kini, saya tidak perlu lagi mengelak soalan Patcharamai yang kerap bertanyakan mengenai persekolahan dan tidak sabar mahu melihat perkembangan pelajarannya di sekolah.

"Saya menggesa orang ramai yang mempunyai masalah seperti ini supaya berhubung terus dengan jabatan pendidikan terdekat bagi membolehkan anak mereka menerima pendidikan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Patcharamai yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Hokkien berkata, dia sudah terbayangkan suasana di dalam kelas selain dapat berjumpa dengan rakan baru.

"Sudah lama saya tunggu saat ini dan saya akan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita sebagai seorang doktor apabila dewasa nanti," katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 7:07pm
d