mutakhir

Tak pasal kena 5 tahun

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang penganggur dihukum penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan memiliki senjata dan cuba mencuri motosikal, tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Fakhruddin Mohd Sagawi, 25, mengaku salah terhadap tuduhan dan diperintahkan menjalani hukuman serentak bermula tarikh ditangkap pada 20 September tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebatang besi tajam sepanjang 9.5 sentimeter dan spanar berbentuk Y tanpa maksud sah di depan kedai Wakaf Che Yeh di sini, jam 12.09 tengah malam, 20 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1), Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, pada tarikh dan lokasi sama, tertuduh antara jam 12.09 hingga 12.20 tengah malam cuba mencuri motosikal Honda Ex5 milik Mohd Ghazali Mahmood, 32, dan didakwa mengikut Seksyen 379A, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511, kanun sama.

Berdasarkan fakta kes, mangsa sedang melayan pelanggan di kedainya sebelum ternampak menerusi kamera litar tertutup (CCTV) tertuduh mengumpil kunci motosikalnya.

Mangsa kemudian terus turun dari kedai dan bergelut dengan tertuduh sebelum berjaya menangkapnya.

Tertuduh dan senjata yang diperoleh kemudian diserahkan kepada polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar yang memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan atas kepentingan awam.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 3:44am
d