mutakhir

Jika ada rezeki lebih, bantulah tiga beranak ini

Oleh Mary Victoria Dass

KESEMPITAN hidup memaksa seorang pesakit jantung, Farra Dafina Maidin, 40, tinggal di stor penyimpanan bahan binaan di Kampung Baru Senai, Kulai, Johor, bersama dua anak perempuan berusia 12 dan 13 tahun sejak empat bulan lalu.

Farra Dafina berkata, sebelum ini dia tinggal di rumah sewa di Perumahan Iskandar Malaysia di Gelang Patah selama empat tahun.

Katanya, dia yang sudah berpisah dengan pasangannya 12 tahun lalu juga pernah bekerja sebagai eksekutif jualan dan pemasaran di sebuah syarikat pemaju dengan pendapatan bulanan melebihi RM3,000.

“Sebelum ini saya dan anak-anak hidup selesa namun nasib saya berubah selepas berdepan masalah kesihatan malah saya terpaksa berhenti kerja pada 2016 hingga hilang sumber pendapatan.

“Sejak tempoh berkenaan hingga akhir tahun lalu, saya bergantung kepada sejumlah wang simpanan,” katanya.

Farra Dafina berkata, akibat gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah dan bil utiliti kira-kira RM2,000, dia terpaksa mengosongkan kediaman berkenaan.

Menurutnya, menyedari nasibnya, kenalannya yang menyewa stor berkenaan sanggup memberi ruang untuknya tinggal bersama anak-anak.

“Saya mengalami masalah jantung berpunca daripada saluran jantung tersumbat dan doktor mengesahkan jantung saya semakin membengkak.

“Akibatnya, saya mudah sesak nafas, hidung dan mulut berdarah selain ada kalanya tidak mampu bergerak.

“Saya juga masih menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan dijadualkan menjalani pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) pada April ini,” katanya.

Farra Dafina berkata, dia sedar stor berkenaan tidak sesuai untuk dijadikan sebagai tempat tinggal.

Menurutnya, dia juga khuatir dengan keselamatan kedua-dua anaknya.

“Biarpun hidup susah, saya mahu terus menyekolahkan anak kerana sedar hanya ilmu yang dapat menjamin masa depan.

“Malah saya terus berdoa supaya Allah SWT memberi kekuatan untuk melawan penyakit ini dan segera sembuh bagi membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” katanya.

Farra Dafina berkata, dia juga bersyukur kerana kedua-dua anaknya amat memahami keadaannya dan sanggup melakukan tugasan di rumah termasuk membantunya menyediakan makanan.

“Soal kewangan, saya memang mengalami kesempitan wang namun tidak pernah meminta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kerana tidak mengetahui salurannya.

“Saya tidak sangka ada kenalan yang menyalurkan maklumat keluarga saya kepada MAIJ sebelum dikunjungi wakil agensi berkenaan bagi menyalurkan sumbangan.

“Saya bersyukur dan berharap kehidupan kami bertambah baik,” katanya.

Farra Dafina ditemui pada kunjungan wakil Jejak Asnaf MAIJ, Nasir Ishak hari ini.

Sementara itu, Nasir berkata, menerusi kunjungan itu, Farra Dafina boleh membuat permohonan bagi bantuan sara hidup demi meringankan bebannya.

“Tiga beranak ini tidak sesuai tinggal di stor ini malah bumbungnya juga bocor.

“Kami mendapati keluarga berkenaan juga memberi jagaan kepada anak kenalan yang memberi kebenaran untuk tinggal di stor itu tanpa mengambil upah.

“MAIJ akan mempertimbangkan bantuan sesuai buat tiga beranak ini bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 5:36pm
d