mutakhir

[UPDATE] Meninggal akibat serangan jantung

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

KETUA jururawat Hospital Machang yang maut dalam kemalangan di Kilometer 3.1 Jalan Lama Machang-Pasir Puteh dekat Kampung Bukit Tiu, Machang, 7.20 pagi tadi, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, pengesahan dibuat pakar forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu yang melakukan bedah siasat.

"Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian adalah serangan jantung (Acute heart attack secondary to coronary artery disease).

"Mayat diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kemalangan itu, Kalppana Bee Nagoor Kassim, 54, maut selepas Perodua Myvi dipandunya menghala ke Pasir Puteh terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh tiang elektrik.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Hospital Machang, Dr Rohana Daud menyifatkan arwah seorang ketua jururawat yang berdedikasi dan disenangi semua pihak.

"Pemergiannya mengejutkan kami dan memilukan. Arwah sepatutnya bertugas pagi tadi dan ketika kejadian beliau dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Berita berkaitan

Jururawat maut kereta terbabas

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 7:05pm
d