mutakhir

Rumah rosak dilanda ribut

Oleh Zulfa Mohamad

ENAM rumah dan markas parti politik di Paya Keladi Hujung, Kepala Batas rosak akibat dilanda ribut, petang tadi.

Kejadian berlaku 6.45 petang apabila hujan lebat disusuli angin kencang menyebabkan enam rumah dan markas terbabit mengalami kerosakan terutama di bahagian bumbung.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, markas terbabit mengalami kerosakan teruk kerana bukan sahaja sebahagian bumbung diterbangkan angin kencang, malah bahagian atas premis turut roboh.

"Anggota polis yang membuat pemantauan mendapati hanya rumah dan markas parti politik mengalami kerosakan dan tiada mangsa terbabit.

"Beberapa dahan pokok besar patah dan menghalang laluan sebelum dibersihkan pihak berkuasa," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin dan wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas turut meninjau rumah yang rosak.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 9:47pm
d