mutakhir

Maut tak sempat elak kereta membelok

Oleh HM Digital

Pelabuhan Klang: Tindakan seorang pemandu kereta tiba-tiba membelok menuju ke stesen minyak mengundang padah apabila bertembung dengan motosikal menyebabkan penunggang itu maut di Lebuh Sanggul 1, Bandar Puteri di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.35 malam, mangsa, Shamsuri Zulkifli, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha RXZ bersendirian itu datang dari arah Bandar Puteri menuju ke Bulatan Bandar Puteri.

“Bagaimanapun, sebuah kereta Hyundai Sonata dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke kanan jalan untuk ke stesen minyak berdekatan.

“Ia menyebabkan mangsa gagal mengelak dan merempuh kereta berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Kata Amar, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu.

“Bagi membantu siasatan, kita sudah merekod keterangan pemandu itu dan kereta berkenaan dibawa ke balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 4:59am
d