mutakhir

1,200 pil kuda dalam beg sandang

Oleh HM Digital

Dungun: Seorang lelaki yang memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah tidak pernah serik apabila sekali lagi dicekup bersama 1,200 pil kuda dalam Op Tapis di sebuah rumah di Taman Seri Intan 2 di sini, Isnin lalu.

Dalam serbuan jam 11 malam, polis turut merampas botol plastik berisi serbuk putih disyaki dadah serta menyita Proton Perdana dan RM1,015.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah hasil maklumat dan risikan dijalankan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap lelaki berusia 38 tahun itu menemui satu beg sandang mengandungi enam peket biru berisi 1,200 pil kuda dianggarkan seberat 122.88 gram dan botol plastik berisi serbuk putih disyaki dadah dianggarkan seberat 4.99 gram.

“Selain merampas dadah bernilai RM9,550, kami turut menyita Proton Perdana dan wang tunai dipercayai hasil jualan dadah dengan sitaan hampir RM11,000,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan pihaknya menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca bekalan dadah itu diperoleh.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 5:28am
d