mutakhir

Padah parkir teksi sesuka hati

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Parkir teksi sesuka hati ketika menunggu penumpang hingga menghalang kelancaran lalu lintas.

Itu sikap degil segelintir pemandu teksi sekitar ibu kota sehingga mengundang kesesakan lalu lintas apabila lorong jalan menjadi sempit akibat dihalang kenderaan mereka.

Bagaimanapun, tindakan pemandu teksi terbabit membawa padah apabila pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melakukan serbuan menerusi Op Tegas yang dilaksanakan di tiga lokasi di sekitar ibu kota, semalam.

Dalam operasi selama dua jam bermula jam 11 pagi itu, sebanyak 25 Notis Panggilan Temusiasat dan dua Surat Peringatan dikenakan terhadap pemandu teksi selepas mereka dikesan melakukan kesalahan berkenaan di Jalan Bangsar, Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini.

Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD Mejar Jeneral Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi terbabit dilakukan susulan aduan awam berhubung sikap pemandu teksi didakwa mementingkan diri dengan meletakkan kenderaan di lorong kiri jalan sewaktu menunggu giliran bagi mendapatkan penumpang.

Katanya, menerusi operasi itu, seramai 39 pegawai dan anggota termasuk empat kakitangan Polis Diraja Malaysia dikerahkan bagi menjalankan pemeriksaan di tiga lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, 25 pemandu teksi dikenakan tindakan notis untuk hadir ke SPAD bagi temu siasat dan dua lagi dikenakan surat peringatan.

“Kami turut menyita sebuah teksi selepas pemandunya tiada kad pemandu sewaktu pemeriksaan dilakukan oleh anggota SPAD.

“Manakala pihak polis pula mengeluarkan 15 saman kepada pemandu yang didapati melakukan pelbagai kesalahan trafik,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, operasi terbabit akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab dilakukan oleh pengangkutan awam.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 5:34am
d