mutakhir

Banjir di Pahang, Segamat belum pulih

Oleh BERNAMA

JUMLAH mangsa banjir di dua daerah di Pahang iaitu Pekan dan Raub kekal 284 orang daripada 76 keluarga, pagi ini.

Menurut portal InfoBanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pekan mencatatkan 254 orang mangsa daripada 67 keluarga yang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temai menempatkan seramai 93 mangsa, Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (75 orang), Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (39 orang), SK Acheh (sembilan orang) dan Pusat Pemindahan Banjir Kampung Lamir (38 orang).

Di Raub, 30 mangsa daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di Masjid Kampung Kuala Semantan.

Sementara itu, mangsa banjir di Segamat meningkat kepada 31 orang setakat 7 pagi, hari ini berbanding 30 orang malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, pertambahan itu berikutan peningkatan paras air sungai Muar, Segamat.

Menurut Ayub, 31 mangsa banjir daripada 10 keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Gemereh IV di Batu Badak.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 10:30am
d