mutakhir

Daerah Pitas dilanda banjir kilat

Oleh Razik Zayad

SEMBILAN kampung dan enam sekolah di daerah Pitas, hari ini terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

Kampung terjejas adalah Kampung Rukom Ulu, Salimpodon Darat, Sibaung, Kebatasan Laut, Sulakolung Kanibongan, Kutoyon Kanibongan, Masin Besar Kanibongan, Kanibingan dan Mandamai.

Difahamkan, setakat ini penduduk Kampung Rukom Ulu sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom sejak pagi ini.

Bagaimanapun, jumlah mangsa masih belum diketahui kerana proses pemindahan masih dijalankan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Kamal Mokhtar berkata, enam sekolah ditutup adalah SK Kanibongan, SK Dalas, SK Kusilad, SK Sosop, SK Pandan Mendamai serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanibongan.

"Dua jalan dinaiki air iaitu Jalan Langkon-Pitas berhampiran Kampung Tambilidon dan Jalan Langkon-Pitas berhampiran Kampung Pinggan-Pinggan.

"Namun, kedua-dua laluan masih boleh dilalui kenderaan. Bagaimanapun, satu lagi jalan terputus iaitu Jalan Ladap-Kinangoh sekali gus tidak boleh dilalui," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pitas Bubudan OT Majalu berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah sudah dibuka pada 9 pagi.

"Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 088-615520," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 2:43pm
d