mutakhir

'Songlap' kabel TM: Pengarah antara 3 direman [METROTV]

Oleh Khairul Najib Asarullah Khan

PENGARAH sebuah syarikat antara tiga individu direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan kabel milik Telekom Malaysia (TM) sejak dua tahun lalu.

Permohonan reman itu dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan Mohd Khairi Abdul Karim sebelum Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban Nur Hayatie Mohd Saini membenarkan tempoh berkenaan.

Ia antara lain bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan terhadap suspek termasuk juruteknik dan ahli perniagaan yang berusia antara 30 hingga 47 tahun.

Pengarah syarikat itu ditahan di pejabat SPRM negeri manakala ahli perniagaan itu ditahan di Bukit Intan, di sini pada jam 5.30 petang dan 11.40 pagi.

Juruteknik pula ditahan SPRM Johor pada jam 11 malam hari sama.

Mereka ditahan kerana disyaki bersubahat dengan kakitangan TM untuk mengeluarkan keluar drop fibre berjenama ‘Lite Kabel’ milik TM bernilai RM4,250 yang kemudiannya dijual di pasaran antara 2016 dan Mac 2017.

Perbuatan itu mengakibatkan TM mengalami kerugian antara RM4 juta hingga RM6 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 3:47pm
d