mutakhir

Ibu mimpi Ahnaf diambil orang

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

IBU bayi yang meninggal dunia di rumah pengasuh, Rushidah Abdullah, 30, sering bermimpi ada seseorang mahu mengambil anak tunggalnya, Ahnaf Hanafi Mohd Haniff yang berusia 13 bulan.

Mimpi berkenaan kemudiannya diceritakan kepada suaminya Mohd Haniff Selaman@Sulaiman, 28, namun dipujuk suaminya itu dan mengatakan ia hanya mainan tidur.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu langsung tidak menyangka bahawa ia adalah petanda bahawa mereka akan kehilangan anak mereka buat selama-lamanya petang semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang, Ahnaf Hanafi ditemui tidak sedarkan diri ketika berada dalam buaian di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, Kuantan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Indera Mahkota 5.

Mohd Haniff berkata, isterinya memaklumkan kepadanya mengenai mimpi itu beberapa kali dan untuk menyedapkan hati, dia hanya memujuk isterinya supaya tidak terlalu memikirkannya.

"Apabila isteri menceritakan perihal mimpi itu, di dalam hati saya berdoa supaya ianya tidak menjadi kenyataan, namun apabila mendapat panggilan dari isteri yang memaklumkan Ahnaf sudah tidak sedarkan diri semalam, barulah saya sedar mimpi itu adalah petanda Ahnaf akan meninggalkan kami.

"Anak kami tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika dihantar pagi semalam , dia aktif, berselera makan dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan, kami reda dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman LKNP, Bukit Setongkol, Kuantan, hari ini.

Katanya, dia menghantar Ahnaf Hanafi ke rumah pengasuh pada 8.10 pagi semalam dan ketika itu anaknya itu berada dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun pada 2.30 petang, dia dimaklumkan oleh Rushidah bahawa Ahnaf tidak sedarkan diri dan dibawa ke klinik oleh pengasuhnya untuk menerima rawatan.

"Sebaik tiba di klinik, saya lihat muka Ahnaf sudah kebiruan dan doktor sedang berusaha untuk menyelamatkannya, namun beberapa minit kemudian mereka memberitahu Ahnaf sudah tiada.

"Punca kematian masih belum diketahui dan tiada sebarang kesan penderaan, sampel darahnya sudah diambil untuk dianalisis yang keputusan mengenainya dijangka diketahui dalam tempoh dua bulan," katanya.

Mohd Haniff yang bekerja sebagai akauntan berkata, Ahnaf Hanafi dihantar ke rumah pengasuhnya itu sejak sebulan lalu dan sebelum ini tidak pernah mengalami sebarang masalah.

Terdahulu jenazah Ahnaf Hanafi yang disempurnakan dan disembahyang di Surau Al Ikhwan, Bukit Setongkol dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi kira-kira 11 pagi.

Orang ramai yang berada di surau berkenaan sayu melihat Rushidah memeluk erat jenazah anaknya itu ketika dalam perjalanan ke tanah perkuburan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata siasatan mendapati pengasuh berkenaan tidak mendaftarkan kediamannya sebagai Taman Asuhan Kanak-Kanak di rumah seperti disyaratkan mengikut Akta Taska 1984 sekiranya sesebuah rumah ada menjaga kurang 10 kanak-kanak.

"Mengikut maklumat awal, seramai tiga kanak-kanak lain turut dijaga pengasuh sama dan ketika siasatan lokasi ke rumahnya, jirannya memaklumkan rumah itu dikunci dan pengasuh berkenaan tiada sejak semalam.

"Mengikut rekod, pengasuh itu tidak pernah mengikuti kursus asuhan kanak-kanak atau Kursus Asuhan PERMATA (KAP) yang diwajibkan oleh JKM," katanya.

Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Berita berkaitan:

Ajal bayi 13 bulan, anak tunggal

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 4:05pm
d