mutakhir

Jadikan Cameron Highlands pusat pelancongan tersohor

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SATU sub unit Tentera Darat akan ditempatkan secara berterusan di Cameron Highlands bagi tujuan penguatkuasaan terhadap penerokaan dan pencerobohan tanah kerajaan secara haram dan membasmi pendatang tanpa izin (PATI).

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands Bilangan 1/2018 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Putrajaya hari ini.

Mesyuarat bersama dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob itu adalah mesyuarat pertama tahun ini selepas mesyuarat peringkat tertinggi yang terakhir pada 19 Mei lalu.

Ahmad Zahid dalam kenyataan hari ini berkata, penempatan sub unit Tentera Darat itu dibuat selaras titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menurutnya, mesyuarat sama memutuskan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan meneruskan peranan sebagai agensi peneraju di Cameron Highlands dan menyelaras pelaksanaan Op Gading IV secara bersepadu dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang;

"Selain itu, peninggalan sisa aluminium, besi dan kayu daripada struktur rumah plastik yang dimusnahkan semasa Op Gading I dan Op Gading II di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) juga perlu dilupus dan dibersihkan dengan segera.

"Mesyuarat juga meluluskan penggunaan pesawat helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Maalaysia (PDRM) untuk digunakan dalam operasi tinjauan udara dan operasi membantu semasa bencana alam sekiranya diperlukan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak RM246.5 juta dibelanjakan sejak Op Gading 1 bermula tahun 2014 sehingga tamat tempoh operasi Op Gading III pada tahun 2017.

Menurutnya, jumlah berkenaan termasuk RM88 juta yang dibelanjakan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam projek-projek untuk mendalamkan empangan sebagai langkah mencegah banjir.

"Ini jelas menunjukkan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam melestarikan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan tersohor serta meningkatkan pengeluaran hasil ekonomi negara melalui aktiviti pertanian yang mampan.

"Secara keseluruhannya, tindakan pemulihan Cameron Highlands melalui Op Gading pada tahun 2017 berjalan lancar dan mencapai matlamat operasi," katanya.

Katanya, operasi itu bukan sahaja berjaya mengekang kegiatan penerokaan tanah kerajaan secara haram malah, turut memastikan pelaksanaan kerja-kerja tebatan banjir dan pembersihan sungai berjalan lancar bagi menghindari berlakunya bencana alam seperti banjir lumpur dan tanah runtuh.

Selain itu, katanya, program penghijauan semula Cameron Highlands di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) dan kawasan yang dibuat pemutihan giat dilaksanakan dengan memberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada mereka yang layak terutama pengusaha yang bergantung kepada hasil pertanian untuk menyara keluarga mereka.

"Kerjasama antara agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang dalam operasi ini berjaya memastikan pengambilan tenaga kerja asing menjadi lebih terurus dan seterusnya memastikan dalam jangka panjang pengeluaran hasil pertanian tidak terjejas.

"Dalam pada itu, satu projek mitigasi cerun bernilai RM1.15 juta di penempatan Orang Asli Sungai Tiang sedang dalam pelaksanaan dan dijangka akan siap sepenuhnya pada awal Februari 2018," katanya.

Katanya, sebaik projek mitigasi berkenaan siap, 28 keluarga Orang Asli yang tinggal di Sungai Tiang tidak lagi perlu berpindah kerana lokasi sedia ada sudah dijamin selamat.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 4:49pm
d