mutakhir

Kes bunuh peniaga kosmetik: Empat diburu

Oleh Iskandar Shah Mohamed

POLIS mengenal pasti empat lelaki warga Indonesia yang terbabit dalam kejadian seorang peniaga kosmetik maut akibat ditetak sekumpulan individu di tapak Pasar Malam Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 5 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya sedang mempergiatkan usaha mengesan keempat-empat lelaki termasuk suspek utama berusia 30-an yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar daerah ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan motif mempunyai kaitan dengan masalah peribadi antara mangsa dan suspek.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya, di sini, hari ini.

Katanya, maklumat diperoleh hasil penahanan 10 individu termasuk dua wanita yang ditahan di sekitar lokasi kejadian sehingga semalam.

"Semua individu warga Indonesia berusia 24 hingga 34 tahun itu masih direman bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian pada 9.05 malam itu, mangsa Mohd Nor Syazrin Rasdi, 29, bersama seorang wanita tempatan dan dua pekerja warga asingnya yang sedang berniaga barangan kosmetik didatangi sekumpulan individu.

Mereka kemudian menyerang mangsa dengan pisau sebelum melarikan diri.

Mangsa yang dikelar di leher meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang pekerjanya yang cuba membantu turut cedera di kepala.

Berita berkaitan

'Maut dikelar depan rakan wanita

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 5:06pm
d