mutakhir

Jangan ugut kerajaan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

“TIDAK perlu ugutan, kita (kerajaan) tidak pernah takut akan sebarang ugutan,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan pemandu teksi akan berpaling kepada pembangkang jika isu membelenggu golongan berkenaan tidak diselesaikan.

Ahmad Zahid berkata, persatuan dan pemandu teksi tidak perlu mengugut kerajaan dalam kemelut berkaitan mereka.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan dua menteri bertanggungjawab menjaga pengangkutan supaya bertemu persatuan teksi bagi menyelesaikan isu yang membelenggu pemandu teksi selama ini.

"Saya minta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menjaga soal pengangkutan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri yang menjaga Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya menemui persatuan serta pemandu teksi," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Perkhidmatan Big Blue Taxi Datuk Shamsubahrin Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya akui sudah sepakat untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kerajaan tidak mahu mendengar rintihan pemandu teksi.

"Itu bukan ugutan, tapi kami tidak pilihan lain. Kami sudah serah surat kepada kerajaan namun, tiada reaksi sehingga kini.

"Pemandu teksi kini meraih pendapatan tidak sampai RM100 sehari sejak wujudkan Uber dan Grab. Kalau pihak Kementerian Pengangkutan dan SPAD mahu turun padang untuk bertemu pemandu teksi, kami alukan kerana belum terlambat," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 5:17pm
d