mutakhir

'Pelayaran dadah' terbantut

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI disyaki pengedar dadah tidak sempat menaiki feri untuk ke Pangkor bagi menghantar bungkusan dadah apabila dia ditahan polis di kawasan tempat letak kenderaan di Jeti Marina, Teluk Muroh, Lumut, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, lelaki berusia 23 tahun itu juga dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Difahamkan, suspek yang berasa dari Pulau Pangkor itu mahu ke pulau peranginan berkenaan bagi tujuan menjual dadah.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pemeriksaan lanjut pada suspek menemui sepaket plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 30.4 gram yang bernilai RM750.

Menurutnya, ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif morfin dan mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan dadah.

"Sebelum itu, pada jam 11 pagi hari yang sama polis turut menahan seorang lelaki juga dipercayai pengedar di sebuah pangsapuri di Bukit Permata, Lumut.

"Pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 101 gram bernilai RM2,500 dalam bungkusan plastik di poket hadapan seluar yang dipakai suspek.

"Lelaki berusia 20 tahun ini juga positif morfin dan turut mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung hari ini.

Sementara itu, Muhammad Hanif berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di lorong Kampung Masjid di Pulau Pangkor pada 2.30 petang, kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas pengedar dadah itu yang juga seorang nelayan itu mendapati suspek memiliki heroin yang disimpan di dalam kotak rokok seberat 10.2 gram.

Katanya, nelayan itu dipercayai mengedar di sekitar kawasan pulau peranginan itu dan dia turut didapati positif morfin dan mempunyai rekod lampau membabitkan dadah.

"Ketiga-tiga pengedar yang ditahan itu dipercayai mengedar dadah secara kecil-kecilan dan dua suspek berusia 20 dan 23 tahun itu tidak berkerja.

"Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB), Seksyen 15 (1)(A) dan Seksyen39A(1) akta sama," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 5:39pm
d