mutakhir

Tangguh keputusan hukuman pengarah Genneva

Oleh Zanariah Abd Mutalib

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya menangguhkan keputusan hukuman terhadap empat bekas pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn Bhd (GSB) atas 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga bernilai lebih RM100 juta.

Panel tiga hakim iaitu Datuk Mohtarudin Baki, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan perkara itu selepas menerima permohonan pihak pendakwaan yang meminta tempoh bagi mengenal pasti pertuduhan yang digugurkan sebelum ini mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Mahkamah turut menetapkan 5 Februari depan bagi mendengar penjelasan berhubung perkara itu dan mitigasi.

Dalam permohonannya, Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud, berkata, pihaknya memerlukan masa bagi mengenal pasti pertuduhan yang digugurkan sebelum ini, iaitu daripada 760 kes di peringkat awal pendakwaan kepada 224 kes ketika ini.

Pada 12 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mendapati empat bekas pengarah GSB iaitu

Ng Poh Weng, 67; Marcus Yee Yuen Seng, 65; Chin Wai Leong, 41, dan Liew Chee Wah, 63, bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan keempat-empat individu berkenaan, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan yang dihadapi kesemua responden melampaui keraguan munasabah.

Pada 20 September 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan keempat-empat responden selepas mendapati syarikat pelaburan itu hanya menjalankan aktiviti jual beli emas secara fizikal dan tiada keterangan bahawa syarikat berkenaan mengambil deposit tanpa lesen.

Pada 16 Mei 2013, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan keempat-empat individu itu selepas mendapati keterangan pembelaan mereka berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Keempat-empat lelaki itu juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama, antara November 2008 dan Julai 2009 dan didakwa mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 9:11pm
d