mutakhir

APMM Sabah cari pemancing hilang

Oleh Junaidi Ladjana

LELAKI dilaporkan hilang ketika keluar memancing sejak Selasa lalu, di Pulau Sulug, Kota Kinabalu.

Abdul Molah Mansol, 46, dikatakan keluar memancing pada 5.30 pagi seorang diri dan sepatutnya pulang petang pada hari kejadian, namun kelibat Abdul Molah yang berasal dari Pulau Gaya, di sini, belum ditemui sebelum laporan dibuat oleh ahli keluarganya petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Mohd Zubil Mat Som berkata, sebaik menerima panggilan daripada Pasukan Gerakan Marin (PPM) Kota Kinabalu, aset APMM Kota Kinabalu iaitu bot maritim Pengawal 38 digerakkan untuk melaksanakan pencarian awal berhampiran lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang di kedudukan 10 batu nautika barat laut Pulau Sulug.

"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa serta bot pam yang dinaikinya belum ditemui dan operasi pencarian hari ini diperluaskan meliputi kawasan perairan sehingga ke Pulau Tiga yang merangkumi keluasan 50 batu nautika.

"Kekuatan aset juga ditambah dengan pembabitan dua kapal APMM iaitu KM Bistari dan KM Memmon serta bantuan sebuah bot ranjer daripada Taman-Taman Sabah dan dua bot nelayan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zubil berkata, mangsa dikatakan memakai seluar panjang warna biru ketika keluar memancing pada hari mangsa dilaporkan hilang manakala warna bot pam putih, merah dan hitam.

"Usaha mencari mangsa akan diteruskan. Sehubungan itu, APMM Sabah dan Labuan menasihatkan kepada semua komuniti maritim, persatuan nelayan pemancing serta individu supaya lebih berhati-hati ketika keluar ke laut pada waktu cuaca yang tidak menentu ini.

"Ini kerana sekitar perairan Barat Sabah serta perairan Labuan dengan ombak dijangka boleh mencapai setinggi empat meter dan kelajuan angin sehingga 50 kilometer sejam (km/j)," katanya.

Sementara itu, Mohd Zubil meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini untuk memaklumkan kepada bilik operasi APMM Kota Kinabalu di talian 088-387845.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 10:46pm
d