mutakhir

Imigresen kata tidak keluarkan pekeliling

Oleh Siti A'isyah Sukaimi; Zuhainy Zulkiffli

JABATAN Imigresen Malaysia menyatakan tidak pernah mengeluarkan sebarang pekeliling menghalang kanak-kanak bukan warganegara memasuki persekolahan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kanak-kanak yang mempunyai status berkenaan dibenarkan mendaftar persekolahan selepas dokumen dilengkapkan seperti diperlukan Kementerian Pendidikan.

“Saya sekali lagi menegaskan, Jabatan Imigresen tidak pernah mengeluarkan sebarang pekeliling menghalang kanak-kanak tanpa warga negara untuk memasuki persekolahan di sini.

“Justeru, semua kanak-kanak yang berstatus demikian dibenarkan mendaftar masuk ke sekolah apabila semua keperluan dokumen dilengkapkan sewajarnya seperti diperlukan Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, semalam.

Beberapa portal melaporkan kanak-kanak tujuh tahun di Seremban, Negeri Sembilan, tidak dapat bersekolah kerana tiada pasport.

Laporan itu menyebut, keluarga angkat kanak-kanak terbabit sudah memohon kerakyatan anaknya yang didakwa diambil secara sah dan menunggu kelulusan.

Sementara itu, di Pulau Pinang, peniaga pasar tani juga tidak dapat mendaftarkan anak sulungnya berusia 12 tahun walaupun sudah lima bersekolah di Pulau Pinang, kerana bukan warganegara.

Bapanya, Tan Soo Chien, 32, berkata dia berkahwin dengan warganegara Thailand, Yun-Adi Insiri, 36, di Butterworth pada 2007 dan Tan Ping Siew dilahirkan di hospital swasta di Bukit Mertajam, namun pada sijil kelahirannya ditulis sebagai bukan warganegara.

Katanya, sebelum ini dia tidak mempunyai masalah bagi mendaftarkan Ping Siew ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jit Sin (B), sejak darjah satu hingga lima dengan membayar Yuran Khas Murid Asing sebanyak RM120 setahun.

“Sehingga pada bulan lalu ketika hendak membayar yuran khas berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, saya dimaklumkan urusan pendaftaran persekolahannya tidak boleh dilakukan.

"Ia berikutan memo daripada pihak Jabatan Imigresen Disember lalu, menyebut anak yang ibu atau bapanya bukan bukan warganegara, perlu mengemukakan pasport sekiranya mahu mendaftar persekolahan," katanya ketika ditemui di perkarangan JPN Bukit Jambul Georgetown, hari ini, bersama Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) A Kumaresan.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 12:37am
d