mutakhir

Bantu bangun ummah

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Petaling Jaya: Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GARSB) iaitu syarikat operasi McDonald’s Malaysia membayar zakat perniagaan tahun 2017 RM1 juta kepada lima pihak berkuasa zakat negeri.

Pembayaran zakat perniagaan berkenaan adalah berdasarkan aset semasa bersih syarikat yang diselaraskan bagi tempoh 1 Disember 2016 hingga 30 November 2017.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar, berkata zakat berkenaan diserahkan kepada lima negeri iaitu pihak berkuasa zakat Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (masing-masing RM275,000) manakala RM150,000 setiap negeri bagi Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Katanya, sebagai sebuah entiti perniagaan yang dimiliki pelabur majoritinya orang Islam, ia menjadi kewajipan pihaknya untuk membayar zakat, sekali gus membantu pembangunan ummah di negara ini.

“Zakat berkenaan sudah pun dibayar Disember lalu bagi tempoh satu tahun selepas pemerolehan syarikat oleh Lionhorn Pte Ltd, sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi pada 1 Disember 2016,” katanya pada Majlis Kesyukuran dan Lafaz Akad Pembayaran Zakat Perniagaan antara GARSB dan pihak berkuasa zakat lima negeri terbabit, semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid serta wakil Majlis Agama Islam dan pihak penguasa zakat Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Dalam perkembangan lain, Azmir berkata, GARSB turut merancang membuka 14 restoran McDonald’s baru di seluruh negara tahun ini selain membaik pulih 25 restoran sedia ada.

“Ia membabitkan pelaburan berjumlah RM111 juta dan langkah ini adalah komitmen kami terhadap perancangan 10 tahun McDonald’s Malaysia iaitu pelaburan lebih RM1.4 bilion serta membuka lebih 200 cawangan baru.

“Ia kelak akan menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan baru dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Azmir berkata, pihaknya akan meneruskan usaha memberi penerangan kepada orang ramai berhubung fitnah kononnya McDonald’s Malaysia menyalurkan dana kepada Israel.

Kata beliau, GARSB adalah syarikat milik individu Islam sebagai pemegang saham terbesar dan sebagai sebuah syarikat mereka tidak menyumbang, menyokong atau terbabit dalam sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara sekalipun.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 4:04am
d