mutakhir

Dokumen berkenaan terowong dasar laut diambil

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil dokumen berkenaan terowong dasar laut di Pulau Pinang dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri itu, semalam.

Sumber berkata, SPRM kini dalam proses mengkaji dokumen berkaitan kontrak perjanjian pelaksanaan kajian terowong berkenaan.

Katanya, dokumen yang diambil dari PTG Pulau Pinang akan membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut sumber, dokumen berkenaan perlu dikaji dengan teliti kerana perjanjian itu dilihat amat meragukan dan nilai kajian pelaksanaan projek mega itu tidak mencecah jumlah RM305 juta seperti diumumkan.

Tambahnya lagi, nilai kajian itu berkemungkinan tidak selari dengan nilai pertukaran tanah yang dibuat antara kerajaan negeri dan syarikat yang dilantik untuk membayar kajian pelaksanaan itu.

“Dikhuatiri kemungkinan kerajaan negeri sudah membuat bayaran jauh berbeza dengan nilai kajian itu sebenarnya.

“Perkara utama yang sedang dilihat adalah berkaitan pertukaran tanah yang sudah ditetapkan dalam perjanjian itu dan SPRM mahu melihat bagaimana ia sebenarnya dilaksanakan serta sama ada ia mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Sumber berkata, pembayaran dilakukan melalui pertukaran tanah dan tanah tebus guna itu adalah bernilai tinggi untuk dibangunkan.

“JKR sudah menetapkan nilai untuk sesuatu kajian, tetapi apabila pembayaran yang dibuat adalah jauh lebih tinggi daripada nilai sebenarnya, timbul kesangsian wujudnya elemen penyelewengan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata, pasukan penyiasat sudah merakam percakapan kira - kira 10 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Mereka terdiri daripada pegawai pejabat kewangan negeri , pejabat perancangan ekonomi negeri, pejabat JKR, pejabat PTG dan pengarah urusan sebuah syarikat.

“Setakat ini tidak ada tangkapan dibuat dan kini pasukan penyiasat dalam proses merakam percakapan saksi untuk memperoleh lebih maklumat berhubung kes terbabit,” katanya.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lain.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 4:07am
d