mutakhir

Drebar teksi cedera terima pampasan cuti sakit Perkeso

Oleh Garret Dawum

Semenyih: “Sudah tiga bulan saya tidak boleh bawa teksi kerana kecederaan di kepala dan anggota badan lain akibat kemalangan Oktober lalu.

“Namun, dengan hanya mencarum RM232.80 setahun menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), saya dapat pampasan untuk cuti sakit selama 75 hari,” kata pemandu teksi, Premraj Singh Sidhu Mindar Singh, 36.

Menurut Premraj, dia mula mencarum pada Jun tahun lalu selepas kerajaan menerusi Perkeso memperkenalkan Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri bertujuan memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri.

“Skim ini memang memberi manfaat kepada diri saya dan pampasan yang diterima ini sudah cukup untuk membantu menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Saya ada tiga anak dan ada yang bersekolah. Pengenalan skim ini memang sangat berfaedah dan saya merayu supaya rakan pemandu teksi segera mengambil caruman ini untuk perlindungan diri sendiri sekiranya ada apa-apa berlaku tanpa diduga,” katanya ketika ditemui pada majlis serahan cek hilang upaya sementara di kediamannya di sini, semalam.

Penyerahan cek berjumlah RM3,099.75 dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso, Ismail Abi Hashim berkata, terdapat empat pilihan caruman setahun bermula RM157.20 hingga RM592.80 disediakan kepada pemandu teksi dan perkhidmatan seumpamanya termasuk Uber dan Grab mengikut peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 4:17am
d