mutakhir

Sarjan maut kereta rempuh tiang

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis maut sejurus kereta dipandu terbabas dan merempuh tiang konkrit jejambat dalam kejadian di Jalan Sungai Besi berhampiran susur ke Jalan Istana di sini.

Dalam kejadian jam 12.27 tengah malam semalam, mangsa Sarjan Low Nyuk Chian, 54, bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Miharja, Cheras.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang memandu kereta Proton Wira dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang konkrit jejambat.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah di muka dan kaki serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.

Zulkefly berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 4:35am
d