mutakhir

Memang lebur

Oleh Syazwan Msar

Gombak: ‘Pelaburan’ dilakukan mencecah RM100,00, namun hadiah dimenangi menerusi pertaruhan mesin judi ‘Ferrari’ hanya kurang RM10,000.

Itu nasib malang seorang kaki judi tegar yang mengalami kerugian besar akibat penangan daripada aktiviti tidak bermoral itu.

Malah lelaki yang mahu dikenali sebagai Azman, 35 tahun itu pernah ditahan polis beberapa kali sebelum ini menyebabkan dia tidak panik sejurus ditahan dalam operasi di sebuah pusat perjudian di Taman Selayang Segar, di sini, petang semalam.

Azman berkata, walaupun malu setiap kali ditahan polis namun ketagihannya untuk bermain judi mengatasi segalanya menyebabkan dia tidak kisah ditahan polis.

“Mesin judi sudah sebati dengan hidup saya, bila ada masa terluang saya akan pergi ke pusat perjudian walaupun terletak di kawasan yang jauh.

“Ahli keluarga termasuk isteri mengetahui saya suka bermain judi dan mereka memang tidak ambil kisah, mungkin sebab sudah tidak larat nak nasihat lagi,” katanya.

Azman antara sembilan individu termasuk seorang penjaga premis berusia 30 hingga 60 tahun yang ditahan anggota serta pegawai Bahagian Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Serbuan berkenaan dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam iaitu premis berkenaan baru saja dibuka awal bulan ini menjadi tumpuan kepada kaki judi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, sindiket perjudian mengubah modus operandi dengan memberikan baucar kepada individu bagi menuntut wang kemenangan sekali gus mengelak daripada menanggung kerugian lebih besar jika diserbu pihak berkuasa.

Beliau berkata, setiap individu yang memperoleh kemenangan ketika berjudi di premis berkenaan akan diberikan baucar seterusnya boleh dituntut daripada pekerja sindiket terbabit yang sentiasa berada berhampiran kawasan berkenaan.

“ Polis juga merampas tiga mesin dan wang tunai RM150 manakala mereka yang ditahan itu dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 4:40am
d