mutakhir

Jumpa segera! [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Ancaman jenayah samun kedai serbaneka 24 jam yang meningkat menimbulkan kebimbangan sehingga Polis Melaka merangka pertemuan segera dengan pengusaha perniagaan terbabit.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, beliau mengarahkan semua tiga Ketua Polis Daerah (Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin) bertemu dengan pemilik premis perniagaan yang beroperasi 24 jam bagi mengatasi ancaman jenayah itu.

Menurutnya, langkah itu diambil susulan statistik jenayah samun di negeri ini menunjukkan angka yang membimbangkan iaitu 20 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu.

“Malah, sepanjang tempoh 10 hari pertama tahun ini, kami menerima dua kes samun membabitkan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

“Justeru, kita mencadangkan pengusaha kedai serbaneka atau stesen minyak yang beroperasi 24 jam, meningkatkan sistem keselamatan mereka. Saya juga mengarahkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur pertemuan segera dengan pengusaha berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, kelmarin, Abdul Jalil menunjukkan lakaran wajah suspek lelaki Melayu berusia 30 hingga 40-an dipercayai terbabit dalam semua jenayah samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, suspek menggunakan modus operandi memakai helmet ketika memasuki kedai serbaneka dan mengacukan pisau bagi menakutkan pekerja yang kebanyakannya wanita pada waktu tengah malam.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 5:21am
d