mutakhir

'Kami tak buat!' [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Dua mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merogol seorang pembantu kedai pada 29 Disember lalu.

Muhd Azrul Nizam Azri dan Mohd Kamaruzzaman Mohd Kamarul Ariffin, masing-masing berusia 30 tahun didakwa merogol mangsa berusia 20 tahun di sebuah rumah dekat Lorong Setali 89 di sini, antara jam 2 hingga jam 3.30 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norfatinah Abu Bakar di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mohd Kamaruzzaman diwakili Muhamad Saifuldin Ab Rahman manakala Muhd Azrul diwakili Aiman As’ad Mohd Ghani.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari sebagai tarikh sebutan semula.

Di Mahkamah Majistret 2 pula, kedua-dua tertuduh berkenaan turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada mangsa sama sehingga wanita terbabit menyerahkan wang tunai RM200 dan telefon bimbit jenama Nokia 3 bernilai RM609.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pantai Teluk Cempedak di sini, kira-kira jam 10.30 malam, 28 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 384, Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut seksyen itu, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 15 Februari sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan mereka diikat jamin RM4,000 seorang dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi mekanik, Mohd Badrul Rashidan Hanipha, 19, turut didakwa di Mahkamah Majistret 1 di sini, kerana menyamar penjawat awam iaitu pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada tarikh, masa dan tempat sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 170, Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Majistret Nurunaim Abdullah menetapkan 25 Januari bagi tarikh serahan dokumen dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 seorang dengan seorang penjamin.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 5:25am
d