mutakhir

Sorok rokok seludup dalam stor

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas 146 karton mengandungi 26,080 batang rokok seludup pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah stor di Ulu Tiram, malam semalam.

Dalam serbuan pada 8 malam itu, polis menemui rokok kretek dan rokok putih itu disembunyikan dalam beberapa kotak dalam stor berkenaan.

Komandernya Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan dibuat selepas pemantauan dibuat ke atas stor berkenaan yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan rokok seludup.

"Selepas pemerhatian selama sejam, anggota terpaksa memecahkan pintu stor itu kerana tiada orang yang datang.

"Hasilnya, kita menjumpai sejumlah rokok kretek dan rokok putih tidak sah disembunyikan dalam beberapa kotak," katanya.

Menurutnya, tiada tangkapan dibuat, namun pihaknya merampas 146 karton rokok itu yang dianggarkan bernilai RM13,888.73.

Katanya, semua barang rampasan itu dibawa ke Pangkalan PPM Wilayah 2 untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1957.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 3:17pm
d