mutakhir

Malaysia, Turkmenistan teruskan kerjasama

Oleh Hayati Ibrahim

MALAYSIA dan Turkmenistan akan terus membangunkan bidang kerjasama baru dalam pelbagai bidang untuk kepentingan kedua-dua negara.

Perkara berkenaan dipersetujui bersama ketika Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov sempena lawatan rasmi dua hari ke negara itu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, kunjungan hormat yang diadakan semalam berlangsung dalam suasana mesra dan perbincangan yang merangkumi pelbagai isu kepentingan dua hala, serantau dan antarabangsa diutarakan.

Katanya, kedua-dua pihak menekankan kepentingan kerjasama yang komprehensif dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri minyak dan gas, pengangkutan, kebudayaan, pendidikan, pelancongan dan hubungan sesama insan yang akan menyumbang secara positif ke arah memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Turkmenistan.

“Presiden Turkmenistan menyampaikan penghargaannya terhadap pembabitan berterusan oleh Malaysia dalam sektor minyak dan gas di Turkmenistan.

"Anifah kemudian mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan Kerajaan Turkmenistan atas peluang yang diberikan kepada PETRONAS,"katanya di Putrajaya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, sejurus kunjungan hormat berkenaan, Anifah mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatnya Rashid Meredov untuk membincangkan perincian mengenai bidang kerjasama yang dibangkitkan semasa kunketika hormat Menteri Luar terhadap Presiden Turkmenistan.

Katanya, kedua-dua menteri bersetuju untuk menggunakan mekanisme dua hala seperti Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) atau Rundingan Politik-Ekonomi untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala.

"Mereka juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi kaum minoriti Rohingya di Myanmar, situasi di Timur Tengah, Afghanistan dan Palestin.

"Hasil mesyuarat kedua-dua menteri mencerminkan pemahaman dan pandangan yang dikongsi bersama oleh kedua-duanya dalam memupuk hubungan yang erat antara Malaysia dan Turkmenistan," katanya.

Katanya, ketika lawatan rasmi itu juga, Anifah turutmenyampaikan ceramah mengenai Dasar Luar Negara Malaysia dan hubungan dua hala Malaysia-Turkmenistan di Institute of International Relations of the Ministry of Foreign Affairs Turkmenistan kepada pensyarah, penuntut dan diplomat muda Turkmenistan.

Menurutnya, lawatan ini berjaya meletakkan asas kukuh untuk kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara sejak lawatan terakhir Anifah ke Turkmenistan pada 12 Disember 2015.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 5:31pm
d