mutakhir

'Saya daftarkan semula persekolahan mereka'

Oleh Zuhainy Zulkiffli

“JIKA itu yang diberitahu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), saya akan membawa beberapa kanak-kanak yang tidak boleh mendaftar ke sesi persekolahan baru pada tahun ini ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang semula, bagi mendaftar persekolahan mereka,” kata Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) A Kumaresan.

Beliau mengakui kesal apabila beberapa kanak-kanak di negeri ini tidak dapat mendaftar masuk ke sekolah pada tahun ini berikutan berdepan masalah berhubung kewarganegaraan.

Katanya, dia terkejut dengan kenyataan JIM yang menafikan mengeluarkan pekeliling menghalang kanak-kanak bukan warga negara memasuki sesi persekolahan baru.

"Saya sendiri membaca pekeliling daripada JIM itu di JPN, begitu juga dengan beberapa ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan kerana itu mereka tidak dapat mendaftar persekolahan anak masing-masing.

"Semua masalah ini timbul disebabkan arahan pekeliling yang dikeluarkan itu, malah tiada masalah begini sebelum ini. Jadi, kenapa pula bagi 2018, arahan ini tiba-tiba muncul dan menyukarkan ibu bapa pelajar?" katanya.

Hari ini, Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali dilaporkan berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang pekeliling yang menghalang kanak-kanak bukan warga negara memasuki persekolahan.

Bagaimanapun, sebelum itu, Kumaresan ke JPN Pulau Pinang bersama tujuh kanak-kanak serta ibu bapa masing-masing yang tidak boleh mendaftar berikutan masalah berkenaan.

Antara yang menjadi mangsa termasuk anak peniaga pasar tani yang terkilan kerana tidak dapat melakukan urusan pendaftaran sesi baru persekolahan anak sulungnya berusia 12 tahun walaupun sebelum ini sudah lima tahun belajar di sekolah di Butterworth.

Lebih membimbangkan, kanak-kanak itu, Tan Ping Siew, bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

Bapanya, Tan Soo Chien, 32, berkata, dia berkahwin dengan warga Thailand, Yun-Adi Insiri, 36, di Butterworth pada 2007 dan Ping Siew dilahirkan di hospital swasta di Bukit Mertajam, namun pada sijil kelahirannya ditulis sebagai bukan warga negara.

Katanya, sebelum ini dia tidak mempunyai masalah bagi mendaftarkan Ping Siew ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jit Sin (B), sejak darjah satu hingga lima dengan membayar Yuran Khas Murid Asing sebanyak RM120 setahun.

"Sehingga pada bulan lalu ketika hendak membayar yuran khas berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, saya dimaklumkan urusan pendaftaran persekolahannya tidak boleh dilakukan.

"Ia berikutan surat daripada pihak JIM pada Disember lalu menyebut anak yang ibu atau bapanya bukan bukan warga negara, perlu mengemukakan pasport sekiranya mahu mendaftar persekolahan," katanya ketika ditemui di pekarangan JPN Bukit Jambul, semalam.

Soo Chien berkata, anak kedua dan ketiganya, masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun pula dapat mendaftar persekolahan seperti biasa.

Katanya, dia bimbang sekiranya urusan pendaftaran berkenaan mengambil masa yang lama hingga menyebabkan Ping Siew ketinggalan dalam pelajarannya.

“Ini adalah tahun penting bagi Ping Siew yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini dan dia sudah berjanji mahu belajar bersungguh-bagi bagi mendapat keputusan yang cemerlang.

"Saya bimbang sekiranya pada masa depan, masalah seperti ini akan timbul semula hingga menjejaskan pelajaran mereka," katanya.

Berita berkaitan

Surat penjelasan, bukan pekeliling

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 5:56pm
d