mutakhir

Mangsa ragut belum sedarkan diri

Oleh Muhamaad Razis Ismail

MANGSA ragut di Kampung Sri Rabana, Machang kelmarin belum sedarkan diri dan masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Dalam kejadian 6.30 petang itu Maria Erianty Zakaria, 40, parah di kepala dan patah tangan kiri selepas terjatuh motosikal akibat diragut dua beradik.

Mangsa yang parah dirawat di Hospital Machang sebelum dirujuk ke HUSM.

Suaminya, Mohd Zairie Mohamad Zain, 48, berkata, selepas menjalani pembedahan membuang darah beku, isterinya masih belum sedarkan diri.

Katanya, suhu badan isterinya juga naik selain tekanan darahnya tidak stabil.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan keadaan isteri sudah stabil dan doktor menasihatkan supaya dia diberikan masa untuk berehat.

"Saya hanya mampu berdoa mengharapkan isteri cepat sembuh. Keempat-empat anak berusia 10 hingga 21 tahun amat rindukannya dan sering bertanya perkembangan ibu mereka yang masih tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dia mahu suspek yang ditahan dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan mereka yang mengakibatkan isterinya parah.

"Saya mahukan keadilan sepenuhnya dan berharap mereka dikenakan hukuman sewajarnya untuk memberi pengajaran kepada mereka dan orang ramai," katanya.

Harian Metro melaporkan Maria Erianty yang dalam perjalanan pulang dari aktiviti senamrobik terjatuh dari motosikal selepas beg tangannya diragut dua beradik.

Kepala mangsa terhantuk pada batu ketika terjatuh selain patah tangan kiri.

Dua beradik itu bagaimanapun berjaya ditahan dengan bantuan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Wanita koma angkara peragut adik beradik

Tergamak mereka buat begini

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 6:15pm
d