mutakhir

Jumpa bayi empat hari

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

BAYI lelaki ditemui di dalam beg berhampiran Rumah Anak Yatim Haruman Kasih, Batu 17 Ayer Tawar, Manjung, hari ini.

Difahamkan, bayi yang dipercayai baru berusia anggaran empat hari itu ditemui berbalut dengan tuala oleh orang awam pada 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima maklumat awam daripada talian 999 berhubung penemuan bayi lelaki itu.

Menurutnya, ketika ditemui bayi berkenaan diletakkan di dalam beg berwarna hitam dan berbalut dengan tuala.

"Bayi itu kemudian dirujuk kepada Hospital Seri Manjung untuk pemeriksaan lanjut dan keadaan bayi terbabit dilaporkan stabil.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah dimaklumkan untuk bantuan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan suspek yang terbabit dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Katanya, jika orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Suthan di talian 014-9048081.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 8:43pm
d