mutakhir

SPRM serbu 9 syarikat berkaitan terowong dasar laut

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu sembilan lagi syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur berhubung isu pembinaan terowong dasar laut di negeri terbabit, hari ini.

Serbuan serentak antara pagi hingga tengah hari tadi itu dilakukan pasukan penyiasat SPRM dari Putrajaya bagi mendapatkan dokumen tambahan dan merakam percakapan saksi berkaitan projek mega yang menghubungkan Persiaran Gurney di Georgetown ke Bagan Ajam, Seberang Perai Utara, yang dianggar membabitkan kos RM6.3 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya turut merakam percakapan lapan saksi termasuk setiausaha, penasihat dan perunding syarikat yang terbabit dalam pelaksanaan projek mega itu.

"Kita akan panggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan bagi membantu siasatan kes ini.

"Bagaimanapun, kita perlu masa untuk menyiasat kes ini kerana ia membabitkan aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam," katanya.

Ditanya kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang menyifatkan siasatan SPRM ke atas projek terowong dasar laut sebagai political witch hunter, Azam enggan mengulas lanjut.

Semalam, SPRM menyerbu 12 lokasi termasuk beberapa agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, selain merakam percakapan 10 saksi berhubung isu pembinaan terowong dasar laut.

Selasa lalu, SPRM menyerbu beberapa agensi kerajaan di KOMTAR dan tiga pejabat syarikat yang terbabit dalam pembinaan terbabit, selain menahan pengerusi dan timbalan pengerusi dua syarikat bergelar Datuk.

Sementara itu, sumber berkata, pasukan penyiasat kini sedang merakam percakapan saksi dalam syarikat yang dilantik mengendali projek itu bagi mengenal pasti proses pembayaran bagi kajian kebolehlaksanaannya.

Katanya, menerusi penelitian dokumen yang dirampas dalam proses siasatan, dipercayai dapat membantu mengenal pasti sama ada bayaran RM305 juta itu adalah nilai sebenar atau sudah dinaikkan.

"SPRM sedang menyiasat sama ada syarikat terbabit mempunyai pengiktirafan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut, selain meneliti latar belakang pakar dilantik untuk membuat kajian ini, sama ada mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut atau sebaliknya.

"Tidak kira sama ada pakar dilantik itu terdiri daripada kerajaan mahu pun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalankan kajian terowong dasar laut," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 9:21pm
d