mutakhir

Peluang untuk peminat bidang suara latar

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PENUBUHAN Kelab Penyampai Suara Latar (KPSL) membuka lebih banyak ruang kepada orang ramai untuk menceburi bidang berkenaan yang mendapat banyak permintaan ketika ini.

Penyelaras KPSL Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, industri itu ketika ini dipelopori oleh mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang, namun ramai yang menganggap ia diisi individu dari bidang penyiaran.

Katanya, pihaknya ingin mempromosikan industri itu kepada semua lapisan masyarakat agar dapat memilih mereka yang berkualiti untuk menyediakan perkhidmatan terbaik.

"Penyampai ini akan diberikan latihan merangkumi gaya penyampaian, penggunaan laras bahasa yang betul serta pelbagai aspek berkaitan.

"Tidak semestinya dari bidang penyiaran kerana ketika ini di dalam industri terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada pelakon, model iklan dan juga kakitangan kerajaan," katanya.

Tuan Asmawi berkata, dia juga sudah mengemukakan kertas cadangan kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak minggu lalu dan ia mendapat maklum balas positif.

Menurutnya, beliau akan menggunakan pengalaman berkecimpung dalam penyampaian suara latar sejak 1993 selain suaranya digunakan untuk video korporat beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Katanya, latihan serta kursus itu nanti turut merangkumi iklan, promosi serta program rasmi yang mendapat permintaan meluas sejak kebelakangan ini.

"Mereka yang mendaftar nanti akan disaring dan perlu menunjukkan kesungguhan. Penilaian menerusi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) juga akan menentukan sama ada mereka layak ke peringkat latihan seterusnya," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 9:23pm
d